Wanita Haid Tidak Perlu Menggantikan Solatnya

حديث قتادة قال حدثتني معاذة أن امرأة قالت لعائشة أتجزى إحدانا صلاتها إذا طهرت قالت أحرورية أنت كنا نحيض مع النبي فلا يأمرنا به

Hadis daripada Qatadah bahawa Mu'azah telah menceritakan kepadanya bahawa seorang wanita bertanya kepada 'Aisyah, "Cukupkah kami solat apabila kami telah suci saja tanpa qadha?" Jawab 'Aisyah, "Apakah anda termasuk kaum Haruriyyah? Kami juga haid di masa Nabi, tetapi Nabi tidak menyuruh kami qadha solat yang tertinggal sepanjang tempoh haid". Hadis ini adalah riwayat Imam Bukhori dalam Sohihnya dalam Kitab Haid.


عن معاذة العدوية قالت سألت عائشة فقلت ما بال الحائض تقضي الصوم ولا تقضي الصلاة فقالت أحرورية أنت قلت لست بحرورية ولكني أسأل قالت قد كان يصيبنا ذلك مع رسول الله صلى الله عليه وسلم فنؤمر بقضاء الصوم ولا نؤمر بقضاء الصلاة
Dari Mu'azah al 'Adwiyah katanya, "Aku bertanya kepada 'Aisyah r.a, mengapa orang haid wajib mengqadha puasa tetapi tidak wajib mengqadha solat?" Jawab 'Aisyah, "Apakah anda orang Haruriyyah?" "Bukan, aku bukan orang Haruriyyah, tetapi aku bertanya." Jawab 'Aisyah, "Itulah suatu keuntungan bagi kita (wanita). Kita diwajibkan mengqadha puasa tetapi tidak diwajibkan mengqadha solat".


عن معاذة عن عائشة أن امرأة سألتها أتقضي المرأة صلاة أيام حيضتها قالت أحرورية أنت كانت إحدانا على عهد رسول الله تحيض فلا
تؤمر بقضاء الصلاة

Dari Mu'azah r.a katanya, "Seorang wanita bertanya kepada 'Aisyah, 'Apakah kita kaum wanita ini wajib mengqadha solat yang tertinggal selama masa haid?" Jawab 'Aisyah, "Apakah anda ini orang Haruriyyah? Kami juga haid pada masa Rasulullah masih hidup. Baginda tidak pernah menyuruh kami mengqadha solat".
Kedua-dua hadis di atas adalah riwayat Imam Muslim dalam Sohihnya dalam Kitab Haid.


Haruriyyah yang dimaksudkan dalam hadis-hadis di atas adalah satu mazhab yang berpendirian bahawa qadha itu wajib bagi wanita yang meninggalkan solat selama ia haid. Pendirian ini tidak betul kerana Nabi s.a.w tidak pernah menyuruh berbuat demikian sebagaimana yang terdapat di dalam hadis.

Atau Haruriyyah itu juga merupakah sebuah kampung yang berhampiran dengan Kufah. Iaitu sebuah tempat orang Khawarij mula-mula mengadakan perkumpulan mereka. sebahagian daripada mereka mewajibkan qadha solat bagi wanita yang meninggalkan solat ketika mereka haid.

Oleh itu, maksud daripada pertanyaan 'Aisyah "adakah anda ini orang Haruriyyah" ialah 'Aisyah bertanya adakah orang yang bertanya itu dari kelompok Khawarij yang salah satu dari usul mereka ialah mengambil dan berpegang dengan apa yang dibawa oleh al Quran semata-mata serta menolak secara mutlak apa yang dibawa oleh hadis-hadis Rasulullah. Pertanyaan 'Aisyah tersebut dikenali dengan istifham inkari (استفهام إنكاري) iaitu satu pertanyaan yang dilontarkan untuk mengingkari perbuatan seseorang dan menganggapnya sesuatu yang tidak patut untuk terjadi. Sedangkan 'Aisyah tidak ber'itiqad bahawa sipenanya itu bermazhab Khowarij. Sipenanya juga menyatakan bahawa dia hanya sekadar bertanya (merujuk kepada hadis ke-2) dan ini menunjukkan bahawa dia bukanlah bersikap ta'annut (bersikap melampau-lampau). Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :

هلك المتنطعون

celakalah orang yang melampau-lampau
Iaitu orang yang bersikap melampaui batas, berlebih-lebihan atau ekstrimis dalam perbuatan, percakapan dan pertanyaan mereka.
Kesimpulannya, inilah keistimewaan dan kemudahan yang Allah berikan kepada kaum wanita yang wajib disyukuri. Maka tidak pantas bagi seseorang memandang pelik tentang wanita yang tidak perlu menggantikan solat yang ditinggalkan sepanjang waktu haid kerana Rasulullah tidak pernah menyuruh sahabiat melakukannya ketika hayat Baginda. Sedangkan baginda sebagai seorang pembawa risalah dan penerang hukum hakam wajib menyegerakan penerangan hukum ketika waktu menuntut Baginda berbuat demikian, (ini kerana keadaan wanita haid dan terpaksa meninggalkan solat adalah perkara yang selalu terjadi dan hal ini memerlukan kepada penerangan segera daripada Baginda) kerana melewatkan penerangan tentang sesuatu hukum yang diperlukan penerangannya adalah tidak harus bagi hak dan tugas seorang Rasul. Oleh itu, jelas bahawa sesuatu yang tidak diterangkan baginda iaitu penggantian solat bagi wanita haid menunjukkan hukum menggantikan solat itu tidak wajib.

Ads 125x125